Penilaian dan peperiksaan Pendidikan rendah di Malaysia

Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan penilaian utama yang dilakukan ke atas murid-murid berpendidikan rendah di Malaysia bermula tahun 2021. Ia menggantikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan. PBS mula diperkenalkan sekitar tahun 2011 sebagai kayu ukur bagi menilai tahap keperibadian murid-murid seperti aspek emosi, rohani dan jasmani[3].

Menerusi PBS, murid-murid akan dinilai berdasarkan kepada tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi)[21]. Penilaian berdasarkan komponen-komponen ini akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap pencapaian dan kelemahan murid-murid[22].

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah

Sebelum tahun 2021, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) merupakan peperiksaan utama yang diambil oleh murid-murid Tahun 6 sebagai persediaan ke pendidikan menengah. Peperiksaan UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima[23]. Keputusan UPSR digunakan sebagai kelayakan murid ke sekolah yang menawarkan program pendidikan menengah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia atau Maktab Rendah Sains MARA kelolaan Majlis Amanah Rakyat[23].

Desas-desus mengenai pemansuhan peperiksaan UPSR mula timbul sejak tahun 2009 oleh kerana ramai berpendapat bahawa murid-murid hanya fokus kepada keputusan peperiksaan UPSR sebagai kayu ukur pencapaian mereka[24]. Pada 28 April 2021, Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (peperiksaan di peringkat menengah) dimansuhkan.

Penilaian Tahap Satu

Pada tahun 1996 sehingga 2000, murid-murid Tahun 3 menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Satu (PTS) sebagai pra-syarat peluang untuk melangkau ke Tahun 5 untuk tahun persekolahan seterusnya[25]. Murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini tidak akan menduduki Tahun 4, sebaliknya mereka akan ke kelas-kelas Tahun 5 bermula tahun berikutnya[26]. Ini menjadikan tempoh mereka berada di pendidikan rendah hanya lima tahun sahaja, berbanding murid-murid lain selama enam tahun[25]. Peperiksaan PTS ini dimansuhkan kerana terdapat alasan bahawa murid-murid yang cemerlang dalam PTS tidak mendapat keputusan yang bagus dalam peperiksaan UPSR[26].